Rabu, 30 September 2009

TERIMA KASIH USTAZ BAHRUDDIN

Ustaz Bahruddin semasa di bilik Pen.Kanan Pentadbiran

Sebentar tadi jam 3.10 petang Pegawai dari PPD Tn Hj Bahruddin Bin Sulaiman Penyelia Pendidikan Islam & Moral serta selaku "Penghulu" untuk SABK daerah ini telah hadir bagi memberikan taklimat dan nasihat berkaitan prestasi serta perkembangan pencapaian peperiksaan percubaan PMR 2009..beliau juga banyak memberikan panduan serta saranan-saranan bagi kemajuan SABK..disamping itu pada pertemuan petang tadi pihak sekolah juga berkongsi maklumat berkaitan perkembangan sekolah dengan beliau..pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih atas kehadiran ustaz.

RENUNGAN : 10 JENIS ORANG ISLAM YANG KEJAM



Menurut Sufyan Ats-Tsauri... sepuluh macam dari kekejaman itu ialah :

1. Seorang yang berdoa untuk dirinya sendiri, dan tidak mendoakan untuk anak-anaknya dan kaum mukmin.

2. Seorang yang pandai membaca Al-Quran, tetapi tiap harinya tidak membaca seratus ayat.

3. Seorang yang masuk masjid lalu keluar dan tidak sembahyang dua rakaat.

4. Seorang yang berjalan melalui kuburan kemudian tidak memberi salam dan mendoakan ahli kubur.

5. Seorang yang sampai di suatu kota pada hari Jumaat kemudian tidak sembahyang jemaah.

6. Seorang yang di daerahnya didatangi oleh seorang alim, tiba-tiba tidak mahu belajar apa-apa daripadanya.

7. Dua orang yang bertemu di perjalanan dan masing-masing tidak menanyakan nama kawannya itu.

8. Seorang diundang pada jamuan tiba-tiba tidak datang.

9. Pemuda yang tidak ada kerja dan tidak mahu belajar ilmu dan kesopanan.

10. Seorang yang kenyang sedang dia tahu bahawa tetangganya lapar, tetapi tidak diberi dari makanannya itu.

Isnin, 28 September 2009

KEMBALI BERJUANG

Assalamualikum kepada teman-teman....kini kita kembali ke sekolah setelah beberapa hari cuti berhari raya... ...semoga cuti panjang yang lalu menambahkan lagi semangat untuk kita menjalankan tanggungjawab terhadap agama,bangsa, sekolah dan negara kita....selamat kembali..

Kepada anak-anak didik pula...gunakanlah baki masa yang ada sepenuhnya untuk berjuang menghadapai PMR,I'Dadi,Thanawi dan SPM....semoga anda semua beroleh kejayaan....

back2sk.jpg


Jumaat, 25 September 2009

PUASA SUNAT 6 HARI DLM BULAN SYAWAL

Pastinya Ramadhan yang baru sahaja berlalu, jika dilaksanakan dengan penuh penghayatan dan keikhlasan, akan meninggalkan kesan yang mendalam terhadap jiwa setiap individu selain menambahkan lagi ketaqwaan. Apa yang diharapkan ialah segala amalan yang telah dilakukan sepanjang bulan Ramadhan al- Mubarak itu tidak akan ditinggalkan dan dilupakan begitu sahaja apabila Ramadhan berlalu pergi.

Antara amalan yang masih terus ditekuni setelah berlalunya bulan Ramadhan ialah puasa sunat. Puasa sunat masih terus dikerjakan oleh para Salihin di bulan Syawal. Syawal merupakan bulan kemenangan kerana merayakan kejayaan setelah berpuasa di bulan Ramadhan.

Memandangkan kita berada dalam bulan Syawal, maka antara puasa sunat yang khusus dikerjakan di bulan ini ialah puasa enam. Bagi mereka yang mempunyai kebiasaan berpuasa enam, ia bukan suatu perkara baru. Oleh yang demikian, jangan ada yang terlepas tanpa mengerjakan puasa enam pada Syawal kali ini. Rebutlah peluang untuk melaksanakannya kerana ia datang sekali sahaja dalam setahun.

Cara Mengerjakan Puasa Enam


Puasa yang biasa disebut sebagai puasa enam ialah puasa yang sunat dikerjakan sebanyak enam hari dalam bulan Syawal. Bagaimanapun para ulama berbeza pendapat mengenai cara mengerjakan puasa enam ini. Secara ringkas dijelaskan pendapat tersebut seperti berikut:

1. Sebahagian besar ulama berpendapat puasa enam dikerjakan secara berturut-turut selepas Hari Raya, iaitu mulai Hari Raya kedua dan seterusnya.

2. Sebahagian ulama muta’akhirin pula berpendapat puasa enam itu harus dikerjakan secara berselang-seli atau berasingan sepanjang bulan Syawal. Samada pada minggu pertama, kedua, ketiga atau minggu terakhir bulan Syawal. Bagaimanapun mengerjakannya berturut-turut selepas Hari Raya, iaitu mulai hari raya kedua, adalah lebih afdhal.

Fadhilat Puasa Sunat Enam

Fadhilat puasa enam itu telah disebutkan dalam hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam daripada Abu Ayyub al-Anshari Radhiallahu ‘anhu:

Maksudnya:
“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, (puasanya di bulan Ramadhan dan enam hari di bulan Syawal itu) seperti puasa sepanjang tahun.”

(Hadits riwayat Muslim)

Mengerjakan puasa sunat sebanyak enam hari di bulan Syawal di samping mengerjakan puasa fardhu di bulan Ramadhan diibaratkan seperti berpuasa sepanjang tahun berdasarkan perkiraan bahawa setiap kebajikan itu dibalas dengan sepuluh kali ganda. Oleh itu disamakan berpuasa di bulan Ramadhan selama 29 atau 30 hari dengan 300 hari atau sepuluh bulan berpuasa dan puasa enam di bulan Syawal itu disamakan dengan 60 hari atau dua bulan berpuasa. Maka dengan itu genaplah ia setahun. Ini diperkuatkan lagi dengan sebuah hadits riwayat Tsauban Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:
“Berpuasa sebulan (di bulan Ramadhan itu disamakan) dengan sepuluh bulan berpuasa dan berpuasa enam hari selepasnya (di bulan Syawal disamakan) dengan dua bulan berpuasa, maka yang sedemikian itu (jika dicampurkan menjadi) genap setahun.”

(Hadits riwayat ad-Darimi)

Apa yang dimaksudkan dengan persamaan di sini adalah dari segi perolehan pahala, iaitu seseorang itu akan mendapat pahala seperti pahala yang didapatinya dari puasa fardhu. Jadi, pahala mengerjakan puasa bulan Ramadhan dan puasa enam adalah sama dengan pahala mengerjakan puasa fardhu sebanyak setahun.

Orang-Orang Yang Dituntut Mengerjakan Puasa Enam

Puasa sunat enam di bulan Syawal sunat dikerjakan bagi orang yang telah berpuasa penuh bulan Ramadhan. Begitu juga bagi orang yang tidak berpuasa penuh Ramadhan kerana sebab-sebab yang diharuskan oleh syara‘. Maksud sebab-sebab yang diharuskan oleh syara‘ ialah seperti orang perempuan yang haidh atau nifas, orang sakit atau orang musafir.

Adapun orang yang meninggalkan puasa Ramadhan dengan sengaja tanpa keuzuran yang diharuskan oleh syara‘, adalah haram baginya melakukan puasa enam, melainkan setelah dia selesai mengqadha puasa Ramadhan, kerana puasa Ramadhan yang ditinggalkan dengan sengaja wajib diqadha dengan segera.

Menyatukan Niat Puasa Qadha Dan Sunat


Orang yang meninggalkan puasa Ramadhan, sama ada disebabkan oleh keuzuran yang diharuskan oleh syara‘ ataupun bukan, hukumnya dia tetap wajib mengqadha puasa yang ditinggalkan itu. Adapun menyegerakan mengqadha puasa adalah satu amalan dan langkah yang terpuji, malahan dituntut oleh agama. Sesiapa yang mahu menyegerakan qadha puasa tersebut di bulan Syawal, maka qadha itu boleh dilakukan bermula pada hari raya kedua (2hb Syawal).

Bagi orang yang meninggalkan puasa Ramadhan yang disebabkan oleh keuzuran yang diharuskan oleh syara‘, jika dia hendak melakukan qadha puasa Ramadhan itu pada bulan Syawal, ia boleh dilakukan sekaligus dengan puasa enam. Caranya ialah orang tersebut hendaklah berniat bagi kedua-duanya, iaitu puasa qadha dan puasa sunat tersebut dengan tujuan bagi mendapatkan ganjaran kedua-duanya sekali (iaitu ganjaran puasa qadha dan ganjaran puasa sunat).

Puasa Sunat Dan Jemputan Makan

Sesetengah individu merasakan, untuk mengqadha puasa Ramadhan apatah lagi untuk berpuasa sunat enam di bulan Syawal, dia bakal menghadapi beberapa rintangan. Ini kerana, seperti yang kita semua maklumi, khususnya pada musim Hari Raya Aidilfitri, bagi kita orang Brunei, amalan berziarah ke rumah saudara-mara dan sahabat-handai sudah menjadi adat dan kebiasaan. Di samping itu ‘open house’ ataupun rumah terbuka juga termasuk amalan yang biasa dilakukan di hari raya ini. Kadang-kadang, sebagai tetamu, sesetengah undangan ‘open house’ ini sukar untuk ditolak sehingga menyebabkan seseorang yang sedang berpuasa itu terpaksa membuat pilihan, lebih-lebih lagi jika kunjungan itu hanya mampu dibuatnya pada siang hari.

Namun perlu juga diingat bahawa berpuasa itu bukanlah sebagai penghalang untuk tidak menghadiri jemputan. Ini kerana Ibnu Umar Radhiallahu ‘anhuma misalnya, tetap memenuhi jemputan walaupun beliau sedang berpuasa. Begitu juga sebaliknya, jemputan jamuan itu bukan bermakna sebagai alasan untuk tidak berpuasa. Sebaiknya perkara ini difahami dengan lebih mendalam lagi.

Dalil kepada peringatan ini adalah berdasarkan hadits daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:
Quote
“Jika dijemput seseorang daripada kamu ke (majlis) jamuan, maka penuhilah (undangan itu). Jika dia sedang berpuasa, maka doakanlah tuan rumah itu, dan jika dia tidak berpuasa, maka makanlah.”

(Hadits riwayat Imam Muslim)

Akan tetapi jika puasa yang dilakukan oleh seseorang yang menjadi tetamu itu adalah puasa sunat, maka dalam keadaan tertentu dia diberikan pilihan, sama ada untuk meneruskan puasanya ataupun disunatkan baginya berbuka dan tidak meneruskan puasa sunat tersebut. Keadaannya adalah seperti berikut:

Keadaan yang pertama: Sekiranya tuan rumah yang menjemputnya itu merasa tersinggung jika tetamu tersebut tidak memakan makanan yang dihidangkannya, maka dalam keadaan ini adalah dibolehkan, bahkan adalah afdal bagi tetamu yang berpuasa sunat tadi untuk berbuka dan tidak meneruskan puasa sunatnya itu.

Adapun alasan yang diberikan oleh ulama ialah untuk menjaga hati tuan rumah. Perkara ini boleh terjadi dalam jamuan atau jemputan yang berbentuk khusus, seperti tuan rumah hanya menjemput tetamu yang tertentu atau dia mempunyai hajat tertentu ketika mengundang tetamu-tetamu tadi.

Adapun dalil yang mensabitkan perkara ini ialah satu riwayat daripada Abu Sa‘id al-Khudri Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah menyuruh seorang yang sedang berpuasa sunat supaya berbuka dalam majlis jamuan makan, sabda Baginda:

Maksudnya: “
Quote
Saudara kamu menjemput kamu dan bersusah payah untuk kamu.” Kemudian Baginda bersabda lagi kepadanya: "Berbukalah dan berpuasalah pada hari lain sebagai gantinya jika kamu mahu.”

(Hadits riwayat al-Baihaqi)

Keadaan yang kedua:
Sekiranya tuan rumah itu tidak tersinggung ataupun tidak keberatan jika tetamunya itu meneruskan puasanya, maka dalam hal ini adalah lebih afdhal dan lebih utama bagi tetamu itu untuk meneruskan sahaja puasa sunat tersebut. Perkara ini boleh terjadi dalam jamuan atau jemputan yang berbentuk umum.

Akan tetapi hukumnya adalah berbeza jika puasa yang dikerjakan oleh seseorang itu merupakan puasa fardhu, misalnya puasa qadha Ramadhan atau puasa nazar, maka adalah haram baginya untuk berbuka. Cukuplah baginya sekadar menghadiri jemputan tersebut dan disunatkan juga ke atasnya untuk mendoakan keberkatan serta keampunan ke atas tuan rumah dan para hadirin sepertimana yang disebutkan dalam hadits di atas.

Oleh yang demikian, peluang untuk mengerjakan puasa sunat enam hanya akan diperolehi sekali sahaja dalam setahun, iaitu dalam bulan Syawal. Usahakan agar jangan ia terlepas tanpa dikerjakan. Rintangan atau dugaan untuk melaksanakannya, seperti majlis jamuan makan, janganlah dijadikan alasan untuk meninggalkan sama sekali puasa sunat enam. Sebaiknya biarlah bijak mengurus masa kerana syara‘ juga mengharuskan puasa sunat enam itu dikerjakan secara berselang-seli sepanjang bulan Syawal.
Sumber : Mufti Brunei

Sabtu, 19 September 2009

ADAB MENYAMBUT HARI RAYA

Selamat Menyambut
Hari Raya Aidilfitri Wal Faizin
Buat Semua

Dalam menyambut kedatangan hari lebaran yang ditunggu-tunggu oleh para muslimin seluruh dunia setelah sebulan berperang melawan hawa nafsu dengan tibanya hari untuk bersyukur dan bergembira dengan segala nikmat Allah iaitu hari raya Aidul Fitri. Di sini dituliskan beberapa adab dan perkara yang disunatkan untuk kita lakukan pada hari raya ini.

1. Membersihkan diri sebelum keluar untuk solat hari raya

Antara lain dalilnya ialah sebagaimana berikut :
a. Adalah Ibnu Umar mandi pada hari raya sebelum dia keluar (riwayat imam Malik dengan sanad yang sohih )
b. Telah sabit bahwa para sahabat bersugi dan memakai bauan pada hari raya.
c. Telah sabit juga bahwa Ibnu Umar mandi dan memakai bauan pada hari raya Eidil Fitri.
d. Sebahagian ulama’ menyatakan sunat mencukur bulu dibadan dan memotong kuku kerana ia adalah penyempurna dalam berhias.

2. Memakai sebaik-baik pakaian
Adalah bagi Rasulullah S.A.W satu jubah yang dipakai pada kedua hari raya.

3. Makan tamar atau seumpamanya sebelum keluar untuk solat hari raya
a. Daripada Anas adalah Rasulullah S.A.W tidak bersarapan pada hari raya eidul fitri sehingga baginda makan tamar dan memakannya secara ganjil pada bilangan. (riwayat imam Bukhari dan Ahmad)
b. Daripada baridah telah memberitahu bahawa Rasulullah S.A.W tidak keluar pada hari raya eidil fitri sehingga baginda makan dan tidak makan pada hari raya korban sehingga menyembelih binatang korban. ( riwayat imam Ahmad dalam sohih Al-Jami’ )

4. Keluar solat hari raya dimasjid dan seumpamanya
Ummu ‘Athiyyah memberitahu bahawa Rasulullah S.A.W telah memerintahkan kami supaya keluar pada hari raya eidil fitri dan eidil adha termasuk perempuan yang baru baligh, mereka yang datang haidh dan mereka yang sibuk dengan tugas di rumah. Maka bagi mereka yang datang haidh hendaklah tidak turut sama untuk solat dan mereka menyaksikan kebaikan dan jemputan muslimin. ( Riwayat imam Bukhari dan Muslim) Setengan ulama’ mewajibkan para muslimin untuk keluar ke temapt solat hari raya.

5. Melaungkan takbir pada hari raya
Daripada Ibnu Umar berkata bahawa Nabi S.A.W bertakbir pada hari raya eidil fitri bermula ketika baginda keluar dari rumah sehinggalah sampai di tempat solat hari raya. ( Riwayat Baihaqi dan al-hakim dalam sohih al-Jami’ )

6. Melalui jalan yang berlainan ketika pergi dan pulang dari tempat solat hari raya

Adalah Rasulullah S.A.W apabila keluar pada hari raya pada satu jalan, baginda pulang pada jalan yang lain. ( Riwayat imam Bukhari dalam sohih al-Jami’ )

7. Mengucapkan tahniah dan ucapan selamat hari raya kepada para muslimin

Adalah para sahabat apabila bertemu pada hari raya, mereka akan mengatakan kepada mereka yang ditemui dengan kalimah yang bermaksud : Semoga Allah menerima segala amalan kami dan kamu. ( Al-Albani telah berkata telah diriwayat oleh al-Muhamili dan selainnya dengan sanad yang sohih dalam Tamam al-Minnah )

Semoga kita dapat sama-sama menghidupkan amaln sunat yang pernah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W sendiri dan para sahabat. Hidupkan hari raya dengan perkara yang bermanfaat dan jangan kotorkannya dengan pelbagai aktiviti yang berbentuk maksiat. Hari raya kemenangan dalam melawan nafsu dan jangan biarkan nafsu yang mengalahkan kita pula pada hari raya

UNTUK ANAK DIDIK DAN RAKAN-RAKAN YANG SEDANG BERCUTI

Tengok-tengok la kalau-kalau ada gambar anda...buat santapan mata sempena hari raya..tapi maaf gambar saiz s....
























Jumaat, 18 September 2009

SALAM LEBARAN BUAT SEMUA..


Salam Lebaran buat semua pengunjung blog,teman-teman lama,warga SABK serta yang mengenali pengendali blog yang "menerap" kat sebelah tu..kalau ada salah dan silap, terkasar bahasa, terusik lebih,termakan terminum haraplah dimaafkan..kalau ada cadangan bagi meningkatkan lagi info-info diblog ni boleh lah hantarkan pandangan diruangan sembang-sembang yang disediakan...kepada yang setia dan baru bersama blog ini diucapkan jutaan terima kasih..terimalah ketupat di atas sebagai juadah mata....selamat hari raya..

Khamis, 17 September 2009

MAJLIS PENUTUPAN IHYA RAMADHAN & PERUTUSAN AIDILFITRI

SEDAPNYA...Gambar ni sengaja dipaparkan...tidak ada kena mengena dengan tajuk...cumanya ia mungkin untuk guru dan staf SABK yang mengandung....
NAK BALIK RAYA...Mungkin itu yang sedang bermain difikiran semua pelajar, badan di sekolah jiwa di rumah..(siap pakai baju raya lagi...)
MENUNGGU HADIAH......
TERUJA...Erna mendapat tepukan yang paling gemuruh kerana berjaya memenangi pertandingan hafazan
PEMALU...Macan tula gelagat guru-guru dan staf setiap kali bergambar....
MANA SATU...Banyak sangat camera man mana satu nak tengok...!!!sorang tengok kiri sorang tengok kanan.
JAP LAGI KELIK KELATE LA KAWE....Ustazah Amnah dan Ustazah Zainun antara 2 orang guru dari Kelantan
ALA TIRAI JATUH LA...Gara-gara jumaat cuti, program tetap jalan.....semuanya kena pantas....apa pun program terpaksa 'on'
PUAN AIDA...Antara yang sempat dirakam....sedang menerima kuih raya...sumbangan kios dan sekolah...(kios untung banyak nampaknya tahun ni...)
USTAZ AZRI....Hakim Khat sedang menerima cenderamata...(nampak macam dodol 2 kg...)
CIKGU CIK AZLIN...Guru Bahasa Inggeris (dapat muruku ke tu?)
SIMBOLIK...Tuan Pengetua menyerahkan duit raya kepada Pen.Kanan HEM Ustazah Rodziah untuk diberikan kepada semua pelajar ..
SAAT PERPISAHAN....Suasana paling syahdu....
Sebentar tadi berlangsungnya Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Sempena Sambutan Ihya Ramadhan 1430H serta perutusan Aidilfitri dari Tuan Pengetua.
Walaupun program ini sepatutnya diadakan pada esok hari tetapi terpaksa diawalkan kerana Kementerian Pelajaran mengumumkan Jumaat adalah cuti khas..memang sedikit kelam-kabut bermula malam tadi lagi,terutamanya guru-guru yang mengelolakan program ini..mana nak cari hadiah..nak balut lagi,warden yang bertugas pun apa kurangnya menguruskan asrama dan penghuni asrama (maklumla cuti mengejut)Ustaz Rafik pun pening memikirkan bas yang telah ditempah pada hari jumaat..
Alhamdulillah majlis pagi tadi dapat dimulakan pada pukul 11 pagi..di mana pengerusi Ustaz Hailisam yang sepatutnya berganding dengan Ustazah Nadia..terpaksa berseorangan...majlis juga menjemput semua warga SABK Daerah Batang Padang guru-guru,staf,penyelia,pembersih kawasan, pengawal keselamatan serta semua pelajar..kecuali pelajar tingkatan 5 (kesian kerana sedang menduduki peperiksaan percubaan)..Seterusnya Majlis ucapan perutusan hari raya dari tuan pengetua Tn Hj Abdul Halim serta ucapan hari raya dari Pen.Kanan Pentadbiran mewakili semua kerana kesuntukan masa...majlis di akhiri dengan semua hadirin bersalam-salaman tanda bermaafan...untuk semua Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin.

Rabu, 16 September 2009

SEKITAR MAJLIS KHATAM AL-QURAN & BERBUKA PUASA BERSAMA PPD

JAMUAN RINGAN...Tetamu berkesempatan menjamu selera bersama pelajar di dewan makan.
TAZKIRAH RAMADHAN...Tuan Hj Mat Nuh B. Supaat sedang memberikan tazkirah ramadhan selepas solat maghrib..
BERBUKA..Jamuan berbuka puasa di perkarangan kantin sekolah
SABAR MENANTI...Saat-saat menanti waktu berbuka.
CENDERAMATA...Antara buah tangan kepada tetamu.
TERTIB....Majlis Khatam Al-Quran di surau An-Nur..
Antara peserta majlis khatam Al-Quran..
KHUSYUK...Pelajar puteri sama-sama memeriahkan majlis khatam Al-Quran.
SOPAN... Antara peserta pelajar puteri yang mengambil bahagian.(gambar bawah..ustaz Rafik Maaruf sedang membimbing majlis Khatam Al-Quran.)
Alhamdulillah Majlis Khatam Al-Quran dan berbuka puasa bersama Pegawai-pegawai PPD,yang berlangsung semalam berjalan seperti yang dirancang,turut hadir ahli Lembaga Pengurusan Sekolah,PIBG,ibu bapa ,guru-guru dan staf serta keluarga masing-masing.Pihak sekolah amat berbesar hati atas kesudian semua yang hadir terutamanya pegawai-pegawai PPD yang diketuai oleh Tn. Hj Mat Noh B. Supaat serta pegawai-pegawainya terdiri daripada En Rahim B. Abdul Majid,En Hishamuddin B. Adnan,En.Azshar B. Ramli,En.Khamdan B. Ishkandar,En Zainuddin,En.Roslan Mansur(juga merupakan Tim YDP PIBG),Tn Hj.Mudakir B. Masron,En Mohd Sani B. Harun,Tn. Hj Abdul Halim B. Musa dan En Mohd Bashah B. Abdul Razak (mohon maaf nama yang tidak disebut).
Pihak sekolah mengucapkan ribuan terima kasih atas kesudian semua yang hadir mohon maaf jika ada yang terkurang, insya Allah kita jumpa lagi pada majlis-majlis yang lain.

Di atas adalah gambar-gambar yang sempat diambil sepanjang majlis semalam.

Selasa, 15 September 2009

MAJLIS KHATAM AL-QURAN & BERBUKA PUASA BERSAMA PEGAWAI PPD

Insya Allah hari ini Majlis Berbuka Puasa akan diadakan buat kali yang ke-2 di sekolah ini.Majlis kali ini lebih bermakna kerana Tuan PPD serta pegawai-pegawainya akan turut sama hadir.Insya Allah Tuan PPD kita akan memberikan Tazkirah serta solat Tarawih bersama-sama,majlis anjuran Lembaga Pengelola Sekolah ini juga dijangka dihadiri oleh ahlijawatankuasa PIBG,Lembaga Pengelola Sekolah (LPS),ibubapa yang terdekat serta kakitangan dan warga SABK Bidor.Atur cara majis ialah seperti di bawah:

ATUR CARA MAJLIS

4.15 Ptg
  • Semua guru dan pelajar berkumpul
  • Solat Asar berjemaah
  • Majlis Khatam Al-Quran
6.00 Ptg
  • Ketibaan jemputan
  • Ucapan Pengerusi majlis
  • Ucapan Pengetua
  • Tahlil dan doa selamat
  • Majlis Berbuka
  • Solat Maghrib
  • Tazkirah Ramadhan Oleh Tuan Pegawai Pelajaran Daerah
  • Solat Isyak & Tarawih
  • Jamuan
10.00 mlm - Bersurai

Ahad, 13 September 2009

MUTIARA HIKMAH


Moga Dapat direnungkan bersama kata-kata di bawah.. Kata-kata Hikmah, penawar ‎bagi hati…

‎1) Jangan sekali-kali kita meremehkan sesuatu perbuatan baik walaupun hanya sekadar ‎senyuman.

‎2) Dunia ini umpama lautan yg luas. Kita adalah kapal yg belayar di lautan telah ramai ‎kapal karam didalamnya.. andai muatan kita adalah iman, dan layarnya takwa, nescaya ‎kita akan selamat dari tersesat di lautan hidup ini.

‎3) Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan.

‎4) Setiap yang kita lakukan biarlah jujur kerana kejujuran itu telalu penting dalam sebuah ‎kehidupan. Tanpa kejujuran hidup sentiasa menjadi mainan orang.


‎5) Hati yg terluka umpama besi bengkok walau diketuk sukar kembali kepada bentuk ‎asalnya.

‎6) Dalam kerendahan hati ada ketinggian budi. Dalam kemiskinan harta ada kekayaan ‎jiwa. Dalam kesempitan hidup ada kekuasaan ilmu.

‎7) Ikhlaslah menjadi diri sendiri agar hidup penuh dengan ketenangan dan keamanan. ‎Hidup tanpa pegangan ibarat buih-buih sabun. Bila-bila masa ia akan pecah.

‎8) Kegagalan dalam kemuliaan lebih baik daripada kejayaan dalam kehinaan. Memberi ‎sedikit dengan ikhlas pula lebih mulia! dari memberi dengan banyak tapi diiringi dengan ‎riak.

‎9) Tidak ada insan suci yang tidak mempunyai masa lampau dan tidak ada insan yang ‎berdosa yang tidak mempunyai masa depan.

‎10) Kata-kata yang lembut dapat melembutkan hati yang lebih keras dari batu. Tetapi ‎kata-kata yang kasar dapat mengasarkan hati yang lunak seperti sutera.

‎11) Lidah yang panjangnya tiga inci boleh membunuh manusia yang tingginya enam ‎kaki.

‎12) Agama tidak pernah mengecewakan manusia. Tetapi manusia yang selalu ‎mengecewakan agama.

‎13) Nafsu mengatakan perempuan itu cantik atas dasar rupanya. Akal mengatakan ‎perempuan itu cantik atas dasar ilmu dan kepintarannya. Dan hati mengatakan perempuan ‎itu cantik atas dasar akhlaknya.

‎14) Keikhlasan itu umpama seekor semut hitam di atas batu yang hitam di malam yang ‎amat kelam. Ianya wujud tapi amat sukar dilihat.

‎15) Hidup memerlukan pengorbananan. Pengorbanan memerlukan perjuangan. ‎Perjuangan memerlukan ketabahan. Ketabahan memerlukan keyakinan. Keyakinan pula ‎menentukan kejayaan. Kejayaan pula akan menentukan kebahagiaan.

‎16) Seseorang yang bijak melahirkan kata-kata selalunya disanjung sehingga ia mula ‎bercakap kosong.

‎17) Harta akan habis digunakan tanpa ilmu tetapi sebaliknya ilmu akan berkembang jika ‎ianya digunakan.

‎18) Kekayaan bukanlah satu dosa dan kecantikan bukanlah satu kesalahan. Oleh itu jika ‎anda memiliki kedua-duanya janganlah anda lupa pada Yang Maha Berkuasa.

‎19) Sahabat yang tidak jujur ibarat dapur yang berhampiran. Jikalau pun kamu tidak ‎terkena jelaganya sudah pasti akan terkena asapnya.

‎20) Mengapa manusia gemar mencetuskan pertelingkahan sedangkan manusia itu sendiri ‎dilahirkan dari sebuah kemesraan.

‎21) Kita sentiasa muda untuk melakukan dosa tetapi tidak pernah tua untuk bertaubat.

‎22) Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu ‎serendah mutiara di lautan.

‎23) Setiap mata yang tertutup belum bererti ia tidur. Setiap mata terbuka belum bererti ia ‎melihat.

‎24) Jadikan dirimu bagai pohon yang rendang di mana insan dapat berteduh. Jangan ‎seperti pohon kering tempat sang pungguk melepas rindu dan hanya ayak dibuat kayu ‎api.

‎25) Menulis sepuluh jilid buku mengenai falsafah lebih mudah daripada melaksanakan ‎sepotong pesanan.

‎26) Jangan menghina barang yang kecil kerana jarum yang kecil itu kadang-kadang ‎menumpahkan darah.

‎27) Kegembiraan ibarat semburan pewangi, pabila kita me! makainya semua akan dapat ‎merasa keharumannya. Oleh itu berikanlah walau secebis kegembiraan yang anda miliki ‎itu kepada teman anda.

‎28)Esok pasti ada tetapi esok belum pasti untuk kita. Beringat-ingatlah untuk menghadapi ‎esok yang pastikan mendatang.

‎29) Reaksi emosi jangan dituruti kerana implikasinya tidak seperti yang diimaginasi .

‎30) Sahabat yang beriman ibarat mentari yang menyinar. Sahabat yang setia bagai ‎pewangi yang mengharumkan. Sahabat sejati menjadi pendorong impian. Sahabat berhati ‎mulia membawa kita ke jalan Allah.

‎31) Orang yang bahagia itu akan selalu menyediakan waktu untuk membaca kerana ‎membaca itu sumber hikmah menyediakan waktu tertawa kerana tertawa itu muziknya ‎jiwa, menyediakan waktu untuk berfikir kerana berfikir itu pokok kemajuan, ‎menyediakan waktu untuk beramal kerana beramal itu pangkal kejayaan, menyediakan ‎waktu untuk bersenda kerana bersenda itu akan membuat muda selalu dan menyediakan ‎waktu beribadat kerana beribadat itu adalah ibu dari segala ketenangan jiwa.

‎32) Penglihatan itu sebagai panah iblis yang berbisa, maka siapa yang mengelakkannya ‎kerana takut padaKu, maka Aku akan menggantikannya dengan iman yang dirasakan ‎manisnya dalam hati…

‎33) “Wanita yang cantik tanpa peribadi yang mulia, umpama kaca mata yang bersinar-‎bersinar, tetapi tidak melihat apa-apa”

‎34) “Kekecewaan mengajar kita erti kehidupan. Teruskan perjuangan kita walaupun ‎terpaksa menghadapi rintangan demi rintangan dalam hidup”

‎35) Tanda Orang Bijaksana Ialah Hatinya Selalu Berniat Suci; Lidahnya Selalu Basah ‎Dengan Zikrullah; Matanya Menangis Kerana Penyesalan (Terhadap Dosa); Sabar ‎Terhadap Perkara Yang Dihadapi Dan Mengutamakan Akhirat Berbanding Dunia.

‎36) Jika kejahatan di balas kejahatan, maka itu adalah dendam. Jika kebaikan dibalas ‎kebaikan itu adalah perkara biasa. Jika kebaikan dibalas kejahatan, itu adalah zalim. Tapi ‎jika kejahatan dibalas kebaikan, itu adalah mulia dan terpuji.”

‎37)”Hidup umpama aiskrim. Nikmatilah ia sebelum cair”

‎38) “Kata-kata itu sebenarnya tidak mempunyai makna utk menjelaskan perasaan. ‎Manusia boleh membentuk seribu kata-kata, seribu bahasa. Tapi kata-kata bukan bukti ‎unggulnya perasaan”

‎39) “Hidup tidak boleh berpandukan perasaan hati yg kadangkala boleh menjahanamkan ‎diri sendiri. Perkara utama harus kita fikirkan ialah menerima sesuatu atau membuat ‎sesuatu dgn baik berlandaskan kenyataan”

‎40) “Hidup adalah gabungan antara bahagia dan derita. Ia adalah menguji keteguhan ‎iman seseorang. Malangnya bagi mereka yg hanya mengikut kehendak hati tidak sanggup ‎menerima penderitaan.

‎41) Hadiah Terbaik :

‎-> Kepada kawan – Kesetiaan
‎-> Kepada musuh – Kemaafan
‎-> Kepada ketua – Khidmat
‎-> Kepada yang muda – Contoh terbaik
‎-> Kepada yang tua – Hargai budi mereka dan kesetiaan.
‎-> Kepada pasangan – Cinta dan ketaatan
‎-> Kepada manusia – Kebebasan

‎42) “Berfikir secara rasional tanpa dipengaruhi oleh naluri atau emosi merupakan satu ‎cara menyelesaikan masalah yg paling berkesan”

‎43) “Hiduplah seperti lilin menerangi orang lain, janganlah hidup seperti duri mencucuk ‎diri dan menyakiti orang lain.”

‎44) “Dunia ini ibarat pentas. Kita adalah pelakonnya. Maka berlumba-lumbalah beramal ‎supaya hidup bahagia di dunia dan akhirat”

‎45) “Akal itu menteri yang menasihati, Hati itu ialah raja yang menentukan, Harta itu ‎satu tamu yang akan berangkat, kesenangan itu satu masa yang ditinggalkan”.

‎46) “Selemah-lemah manusia ialah orang yg tak boleh mencari sahabat dan orang yang ‎lebih lemah dari itu ialah orang yg mensia-siakan sahabat yg telah dicari”

‎47) “Cakap sahabat yg jujur lebih besar harganya daripada harta benda yg diwarisi dari ‎nenek moyang”

‎48) “Ingatlah, sabar itu iman, duit bukan kawan, dunia hanya pinjaman dan mati tak ‎berteman..”

‎49) “Lidahmu adalah bentengmu, jika elok menjaganya maka ia akan menjagamu, dan ‎jika membiarkannya maka ia tidak akan mempedulikanmu”

‎50) “Orang yg paling berkuasa adalah orang yg dapat menguasai dirinya sendiri”

‎51) “Seseorang menganggap sekatan sebagai batu penghalang, Sedangkan orang lain ‎menganggapnya sebagai batu lonjatan.”

‎52) “Kalau kita melakukan semua yang kita upaya lakukan, sesungguhnya kita akan ‎terkejut dengan hasilnya.”

‎53) “Kita selalu lupa atau jarang ingat apa yang kita miliki, tetapi kita sering kali ingat ‎apa yang ora ng lain ada.”

‎54) “Apa yang diperolehi dalam hidup ini, adalah sepenuhnya daripada apa yang kita ‎berikan padanya.”

‎55) “Fikirkan hal-hal yang paling hebat, Dan anda akan menjadi terhebat. Tetapkan akal ‎pada hal tertinggi, Dan Anda akan mencapai yang tertinggi.”

‎56) “Dunia ini tiada jaminan melainkan satu peluang.”

‎57)”Kehidupan kita di dunia ini tidak menjanjikan satu jaminan yang berkekalan. Apa ‎yang ada hanyalah percubaan, cabaran dan pelbagai peluang. Jaminan yang kekal abadi ‎hanya dapat ditemui apabila kita kembali semula ke pada Ilahi.”

‎58) “Rahsia kejayaan hidup adalah persediaan manusi! a untuk menyambut kesempatan ‎yang menjelma.”

‎59) “Kekuatan tidak datang dari kemampuan fizikal, tetapi ianya datang dari semangat ‎yang tidak pernah mengalah.”

‎60) “Mengetahui perkara yang betul tidak memadai dan bermakna jika tidak melakukan ‎perkara yang betul.”

‎61) “Kecemerlangan adalah hasil daripada sikap yang ingin sentiasa melakukan yang ‎terbaik.”

‎62) “Jadikan sebagai aturan hidup untuk melakukan yang terbaik dalam apa jua yang ‎dilakukan, pasti akan menghasil kecemerlangan.”

‎63) Sucikanlah 4 hal dengan 4 perkara : “Wajahmu dengan linangan air mata keinsafan, ‎Lidahmu basah dengan berzikir kepada Penciptamu, Hatimu takut dan gementar kepada ‎kehebatan Rabbmu, ..dan dosa-dosa yang silam di sulami dengan taubat kepada Dzat ‎yang Memiliki mu.”

Jumaat, 11 September 2009

PENGUMUMAN: PERMOHONAN KEMASUKAN TINGKATAN 1 KE SABK DAERAH BATANG PADANG BIDOR

Adalah dimaklumkan Permohonan kemasukan pelajar tingkatan 1 ke sekolah ini telah di buka mulai sekarang.Di bawah ini disertakan surat tawaran dari JPN berkaitan tawaran tersebut dan untuk keterangan lebih lanjut sila hubungi atau datang sendiri ke sekolah pada waktu pejabat...

TAWARAN DAN SYARAT PERMOHONAN MASUK KE TINGKATAN 1 SEKOLAH-SEKOLAH IPPA (SABK)NEGERI PERAK

1. MAKLUMAN:

Sekolah-sekolah IPPA JPN Negeri Perak adalah Sekolah-Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK)yang terdapat diseluruh negeri Perak. Semua sekolah-sekolah IPPA menawarkan pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan subjek-subjek Akademik biasa serta subjek-subjek Pendidikan Agama dan Bahasa Arab dengan kemudahan asrama. Penawaran tempat di asrama bergantung kepada kekosongan. Terdapat 23 buah sekolah IPPA Jabatan Pelajaran Negeri Perak iaitu 21 buah sekolah menengah dan 2 buah sekolah rendah.

2. SYARAT KEMASUKAN:

Calon-calon hendaklah
1. Memperolehi keputusan sekurang—kurangnya 2A dan lulus semua matapelajaran dalam ujian UPSR tahun semasa.
2. Mendapat sekurang-kurangnya 3A dan lulus semua matapelajaran dalam ujian UPKK
3. Lulus semua matapelajaran dalam ujian PKSR Agama Tahun 6
4. Boleh membaca Al-Quran dengan baik.
5. Boleh menguasai JAWI ( menulis dan membaca ) dengan baik

3. BORANG PERMOHONAN MASUK:

1. Format borang yang telah disediakan oleh pihak BPI / SPI di tahun 2008 diguna pakai.
2. Borang permohonan masuk boleh diperolehi di Sekolah-sekolah Agama Bantuan Kerajaan, PPD dan Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran Negeri.
3. Tarikh tutup permohonan pada 1 Oktober 2009. Calon dikehendaki menghantar keputusan UPSR ke sekolah yang dipohon dalam tempoh 7 hari bekerja selepas keputusan UPSR diumumkan.
4. Ujian pemilihan khas ( bertulis, menulis dan membaca petikan dalam tulisan JAWI dan membaca Al-Quran ) akan diuruskan oleh pihak pengurusan sekolah yang terlibat sahaja.

5. Sekolah ( SABK – Pilihan ) dikehendaki menyediakan
4.1. BORANG A surat akuan menerima borang permohonan ( BORANG A )
4.2. BORANG B untuk dikembalikan ke sekolah pilihan bersama-sama keputusan UPSR yang telah disahkan oleh Guru Besar sekolah asal.

6. Calon-calon yang berjaya akan dimaklumkan dengan surat beserta senarai / bahan keperluan untuk dibawa semasa pendaftaran.

SAYU MENINGGALKAN HARI-HARI TERAHKIR RAMADHAN KALI INI..

Ramadhan tinggal 8 atau 9 hari je lagi akan pergi. Banyak lagi yang kita ketinggalan dalam mengejar rahmat Allah dalam bulan yang penuh barakah ini. Ya Allah, lalainya hambaMu ini...

Sekadar nak berkongsi peringatan....

10 PERKARA YANG PERLU DILAKUKAN PADA AKHIR RAMADHAN


1. Perbaharui Syahadah
  • sama ada sebelum waktu tidur atau sejurus bangun dari tidur

2. Banyakkan istighfar dan taubat kepada Allah SWT
  • Kalau boleh bacalah penghulu istighfar sekali waktu pagi & sekali waktu malam
  • Banyakkan Astagfirullahalazim
3. Berazam & bernekad untuk mendapatkan Al - Qadar
  • Sabda Rasulullah SAW: Barangsiapa yang tidak berusaha mencariAl- Qadar dengan bersungguh-sungguh maka dia itu orang yang celaka/rugi
  • Jangan mempermainkan malam Al -Qadar

4. Fokuskan diri kepada ibadah

5. Banyakkan sedekah jariah

6. Jauhi perkara-perkara haram & syubahat

7. Ruku' & sujud yang lama

8. Bangunkan ahli keluarga untuk bersama-sama beribadah
  • Sabda Rasulullah SAW
"Bila sudah tinggal 10 hari dari akhir Ramadhan, Rasulullah SAW tidak meninggalkan seorangpun dari keluarganya untuk bangun malam, melainkan beliau membangunkannya"

9. Banyakkan berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT
  • Berdoa 1/2 jam sebelum berbuka dan 1/2 jam sebelum imsak/subuh
  • Banyakkan bacaan " Allahommainna nas aluka ridho kawaljannah
Wa au'zubika sakhotikawannar"(doa antara solat tarawih-maaf tulis rumi)

10. Memelihara kasih sayang sesama ahli keluarga.


Ingatan kepada diri sendiri dan untuk semua.. kalau tak dapat buat semua, jangan tinggal semua...

Jadi, marilah kita sama-sama merebut peluang yg masih berbaki ini...terasa teramat sayu..kalau-kalau inilah Ramadhan terahir kita

Khamis, 10 September 2009

ANTARA LOKASI MENARIK DI SABK DAERAH BATANG PADANG BIDOR

Lokasi ni antara bangunan dua tingkat bilik KHB dan berhadapan dengan surau kita (surau An-Nur)kalau pelajar lama ingat ni lokasi padang bola kecik dulu..
Lokasi ni diambil di depan tempat parking sumbangan PIBG dulu tapi sekarang dah dibina laluan berbumbung..gambar menunjukkan laluan ke asrama putera melalui surau...
Ni pemandangan asrama puteri..bangunan 4 tingkat tu dulu cuma bangunan satu tingkat dan untuk ke sana sekarang dah ada laluan berbumbung..
Masih pemandangan asrama puteri,bersebelahannya ialah bangunan asrama lama dan kantin..serta tempat rehat pelajar...(gambar bawah gambar laluan ke asrama putera ke surau dan kelas)
Antara lokasi yang dapat dirakamkan di SABK Daerah Batang Padang...tapi lanskap luaran je la lain kali dekorasi dalam pulak..semua ni khas buat teman-teman bekas tenaga pengajar di sini yang selalu bertanya khabar melalui udara sahaja..serta tak lupa bekas-bekas pelajar untuk menghilangkan kerinduan...terutama yang sentiasa melayari blog ni..terima kasih kerana masih mengingati...khas untuk pok yie (Ustaz Asri)insya allah kalau ada gambo2 lama saya akan cuba siarkan..

Rabu, 9 September 2009

PENGUMUMAN

SABK Daerah Batang Padang Bidor sekali lagi diamanahkan sebagai Pusat Ujian Kelayakan ke tingkatan satu Sekolah Menengah Agama Kerajaan Negeri (SMAN) Izzuddin dan Ta'ayah bagi sesi 2010.
Tarikh ujian dan maklumat berkaitan ujian adalah seperti berikut:

TARIKH :12 SEPTEMBER 2009
HARI :Sabtu
MASA :9.00-12.45 tgh
TEMPAT :Dewan Utama SABK Daerah Batang Padang.

Ibubapa yang mendapat surat panggilan bolehlah hadir pada dan masa seperti yang tercatat.Bagi mereka yang baru pertama kali ke sekolah ini..lokasinya adalah ditengah-tengah antara pekan Bidor dan Tapah melalui jalan lama iaitu bertentangan dengan kem PGA Bidor..atau boleh hubungi pihak sekolah pada waktu pejabat.. sekian terima kasih.

Selasa, 8 September 2009

TAZKIRAH RAMADHAN : NUZUL AL-QURAN AL-KAREEM


Selamat Menyambut Hari Ulangtahun Turunnya Mu'jizat Agung.... Al-Quran Al-Kareem
(17 Ramadhan 1430H)


Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah:

Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).
(Al-An’am: ayat 38)

Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan. Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”
(Al-‘alaq:1-5)

Hubungan Lailatul Qadar dan Nuzul al-Quran

Lailatul Qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramadhan yang begitu istimewa sekali fadilatnya. Malam al-Qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadhan dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari 1000 bulan.

Apakah kaitannya malam al-Qadar dengan nuzul al-Quran? Sebenarnya al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah SAW di antaranya firman Allah SWT Maksudnya:

Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!
(Al-Qadar:1-5)

Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan berdasarkan satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah SAW telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah SAW menyatakan bahawa Allah SWT menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat amat gembira.

Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.

Panduan

Dari maklumat serba sedikit di atas tadi sebenarnya banyak boleh dijadikan panduan kepada umat Islam seluruhnya. Antara panduan berkenaan ialah seperti:

1. Tidak ada perkara yang tidak terdapat dalam al-Quran. Ayat pertama diturunkan ialah ‘iqra’ iaitu ‘baca’ dan Tuhan mengajarkan manusia melalui perantaraan Pena dan Tulisan.

2. Kelemahan umat Nabi Muhammad beribadat maka dianugerahkan satu masa yang apabila kita mendapatkannya kita akan digandakan pahala melebihi seribu bulan.
Apabila disebutkan bahawa tidak ada perkara yang tidak terdapat di dalam al-Quran itu maka ianya memberikan makna bahawa segala ilmu pengetahuan yang merangkumi fardu ‘ain dan fardu kifayah dalam segenap aspek kehidupan merangkumi ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan, sains dan teknologi dan lain-lain, segalanya terdapat dalam al-Quran. Tafsiran, kupasan analisa dan penyelidikan membolehkan umat Islam maju mendahului umat-umat lain di dunia ini.

3. Manakala penurunan al-Quran pula didahului dengan suatu kalimah ‘iqra” iaitu ‘baca’ di mana membaca adalah kunci kepada penerokaan ilmu. Selepas itu pula Allah mengiringi dengan ayat yang bermaksud; Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” Keadaan ini menguatkan lagi bahawa pembacaan dan penulisan itu menjadi antara perkara yang paling penting dalam penguasaan ilmu pengetahuan. Di mana sebagaimana diketahui umum melalui satu ungkapan bahawa: “ilmu pengetahuan dan teknologi itu adalah kuasa”.

4. Hikmah dari anugerah malam al-qadar kepada umat Nabi Muhammad SAW sebagai umat akhir zaman. Mengetahui kelemahan umat Islam akhir zaman ini dalam beribadah maka dianugerahkan satu peluang di mana ibadah yang dilaksanakan pada malam itu digandakan sehingga 1000 bulan. Bermakna kiranya kita dapat melaksanakan ibadah dengan penuh keimanan di 10 akhir Ramadhan, kita akan berpeluang mendapat malam al-Qadar. Ini akan menjadikan kita seolah-olah beramal ibadah selama 1000 bulan iaitu sekitar 83 tahun. Menjadikan kita seolah-olahnya menghabiskan seluruh hidup kita dan usia kita dalam ibadah.

Bagi mencari malam-malam yang berkemungkinan sebagai malam al-qadar, maka kalangan ulama ada menyatakan bahawa, malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan. Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam al-qadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah SAW pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadhan. Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah SAW. menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatulqadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatulqadar itu adalah malam 27 Ramadhan. Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan. Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatulqadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah SWT supaya setiap umat Islam menghayati 10 malam yang akhir daripada Ramadhan dengan amal ibadat. Dengan beribadah di sepuluh malam terakhir itu, mudah-mudahan akan dapat menemuinya sebagai bekalan kehidupan akhirat.