Rabu, 1 Julai 2009

RENUNGAN UNTUK ANAK-ANAK DIDIK TERSAYANG

IMAM SYAFI’E DENGAN PENDEBAT

Pada suatu hari, seorang lelaki pendebat datang bertemu Imam Syafie lalu tertanya, “Mengapakah Iblis diciptakan daripada api dan kemudian dia diseksa pula dengan api?”
Imam Syafie berfikir sejenak. Kemudian Imam Shafie mengambil segumpal tanah kering dan mencampakkannya kepada lelaki itu. Lalu, ternampak tanda-tanda kesakitan dan marah pada air muka lelaki itu.
Apabila melihat keadaan sedemikian, Imam Syafie bertanya kepada lelaki itu, “Adakah kamu sakit?” Lelaki itu menjawab, “Ya! Saya sakit.”
Lantas Imam Syafie pun berkata, “Engkau seorang manusia yang dijadikan daripada tanah, dan engkau juga akan disakiti (dihimpit) dengan tanah.”
Lelaki itu terdiam tidak menjawab, tetapi dia telah faham dengan maksud kata-kata Imam Syafie; Begitulah jua keadaan Iblis : dia diciptakan Allah daripada api dan dia juga akan diseksa dengan api.


HADIAH TERBAIK DAN TERBURUK

Seorang ibu yang dermawan telah menghadiah seekor kambing kepada Loqman al-Hakim seraya berpesan: “Sembelihlah kambing ini dan berikan saya bahagian yang terburuk daripadanya untuk saya makan.” Setelah disembelih, dikirimkan kepada ibu tersebut hati dan lidah kambing itu.
Beberapa hari kemudian, ibu itu sekali lagi menghadiahkan seekor kambing dan berpesan agar sesudah disembelih dikirimkan juga kepadanya sebahagian daripadanya. Pada kali yang kedua ini, bukan lagi bahagian yang terburuk yang dipesankannya, tetapi dimintanya bahagian yang terbaik daripada kambing iru.
Setelah kambing disembelih, Loqman mengirim hati dan lidah juga kepada ibu yang dermawan itu. “Kenapakah tuan mengirimkan kepada saya lidah dan hati ketika saya meminta bahagian yang terburuk, dan kenapakah yang itu juga dikirimkan ketika saya memesankan bahagian yang terbaik daripadanya?” tanya ibu tersebut kepada Loqman. Loqman menjawab: “Hati dan lidah amatlah baik ketika baiknya dan apabila keduanya buruk maka amatlah pula buruknya.”
Mendengar jawapan itu, mengertilah ibu itu akan maksud Loqman, kerana hati dan lidah itu adalah pokok segala kebaikan; begitu juga sebaliknya dari hati dan lidah itu terbit segala kejahatan dan keburukan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan